Tuesday 29 September 2015

Bangunan Ibadat Bersejarah Yang Terabai



Bangunan Warisan Bersejarah Yang Terabai Di Kampong Jerangsang, Jerantut Pahang.




Bangunan Masjid Lama Kampong Jerangsang dirakam pada 18 Sept 2011 masih tesergam kukuh walaupun telah tidak dipedulikan oleh kariah terkemudian sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.

Sumber lisan daripada penduduk asal  Saudara Muhammad Muhir Haji Daud  mengesahkan, bahawa bangunan ibadat ini telah dibina pada sekitar tahun 1920an oleh penduduk Kampong Jerangsang  memenuhi tuntutan wajib berugama bagi kariah pada ketika itu. Pemilihan lokasi cukup stratigik iaitu berada ditempat yang paling tinggi di kawasan Kampong Jerangsang, bersesuaian dengan keadaan ketiadaan sistem pembesar suara, dimana laungan suara Azan dapat didengari dikawasan yang rendah disekitar kampong .



Bangunan Masjid Lama Kampong Jerangsang yang dirakam pada 26 Sept 2015 kelihatan bertambah uzur jika dibandingkan 4 tahun yang lalu. Kelihatan tumbuhan menjalar telah mula menutupi sebahagian bumbung masjid. Lama-kelamaan akar tumbuhan akan merosakan struktur penting bangunan.


Ketika itu tuntutan beribadat di Masjid ini tidak ada kemudahan sumber tenaga elektrik, ini  bermakna segala urusan ibadat belajar mengaji Al Quran, berfeqah, bertasauf, bertauhid ,nikah kahwin, bersolat Subuh, Maghrib dan Isyak  hanya menggunakan samada pelita minyak tanah atau Kobait. Mungkin pada awal tahun 50an dan 60an mereka menggunakan  Lampu Gaslin Minyak. Solat Jumaat dan Solat Hari Raya ada dilakukan disini, ini berdasarkan rangka peninggalan Mimbar Kayu yang telah roboh dijumpai dilantai kawasan Mihrab Masjid.





Bayangan imbasan saya dimasa dahulu, : apabila beduk menandakan telah masuk waktu sembahyang kariah bergegas mendaki bukit menuju ke Masjid Lama untuk menunaikan solat berjemaah. Mungkin pada waktu maghrib kelihatan dari jauh jemaah-jemaah membawa obor menuju ke Masjid.

Mewakafkan tanah untuk membangunkan Masjid adalah satu usaha besar yang jarang-jarang sekali mampu dilakukan oleh kita. Niat murni insan mulia yang mewakafkan tanah semata-mata untuk kesejahteraan beribadat dan mengimarahkan syariat Agama supaya  ugama tidak terpadam terkubur di Kampong Jerangsang.

Pada 18 Sept 2011 keadaan rangka dan bentuk bangunan masih kukuh dan elok, cumanya ia menjadi sarang burung spesis Lelayang dan Kelawar.
Siapakah yang ikhlas mewakafkan tapak tanahnya semata-mata untuk mendirikan Masjid Tua ini, sehingga sekarang masih lagi menjadi rahsia. Pada Si penderma, memadai  hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang keperitan pengorbanan untuk berpisah dengan harta miliknya, hanya semata-mata demi ugama dan masyarakat.






Suasana dimasa lampau, dari jauh kelihatan kepala jemaah sedang mengerjakan ibadah.

Siapakah yang menjadi arkitek senibina Masjid ini , tidak dapat dipastikan juga, kerana tiada dokumen yang telah ditinggalkan atau tiada cerita lisan yang disampaikan. Apa yang pasti bangunan ini dibina atas daya usaha keras yang bersungguh-sungguh secara tulus ikhlas oleh  kariah Kampong Jerangsang, demi memajukan pendidikan ugama Islam ketika itu. 



Kolah air untuk jemaah berwuduk dibina di bahagian belakang masjid. Tidak pasti dari mana punca air wuduk diperolehi. Ada kemungkinan kariah membuat saluran pembentong air dari batang buluh yang diperolehi daripada air sungai. Atau pun daripada tadahan air hujan. Kubah pada bangunan utama telah reput dan jatuh bersepah pada halaman Masjid.  

Saya boleh bayangkan bagaimana orang terdahulu mencari kayu didalam hutan, menebang pokok-pokok dihutan  sehingga dapat dijadikan tiang-tiang Alang, Gelegar, Rangka masjid berserta papan-papan dinding Masjid. Mengangkat dan menyusun Atap-atap Zing  berat yang mereka kutip daripada bangunan pejabat  tinggalan  Pegawai British.


Ensel kunci dari jenis besi padat membuktikan  binaan masjid telah dibina ketika zaman pemerintahan British.



Kerja-kerja gotong royong mengangkat tiang-tiang kayu untuk naik ke kawasan yang tinggi memerlukan tenaga yang ramai dan memenatkan. Kerja-kerja pembinaan seperti mengukur, menimbang, Pasak kayu, mengetam, memaku, mengergaji, memahat ,membancuh simen dan sebagainya dilakukan ganding berganding sehingga siap.


Mimbar Kayu sudah tidak dapat diselamatkan setelah ditinggalkan begitu lama. Masjid ini sekarang telah menjadi reban kepada Kambing. Dulunya diatas mimbar batu ini merupakan tempat yang bersih dan suci tetapi kini dicemari dengan najis-najis.

Rekabentuk 2 buah kubah Masjid yang dibentuk secara unik daripada batang kayu seperti bentuk bawang bertindih yang bermuncungkan seperti mata tombak. Siapakan Mahir Kayu yang telah membentuk kubah tersebut dan dari mana seni bentuk itu diperolehi tidak juga dapat dikesan.


Hendaknya terbukalah pintu hati kariah orang terkemudian di Kampong Jerangsang untuk sedar dan menyambung usaha yang telah terhenti begitu lama. Hendaknya sempat  menyelamatkan warisan Bangunan Masjid Lama Kampong Jerangsang yang tidak ternilai ini.  

Harus diketahui mereka melakukan kerja-kerja murni ini secara ikhlas demi kepentingan dan tuntutan agama tanpa mengharapkan upah  ganjaran . Pastinya didalam benak hati penderma dan yang telah berbakti mempunyai harapan dan kepercayaan, bahawa segala usaha ikhlas dan amalan   akan menerima ganjaran berterusan dari Allah selagi ada orang yang menggunakan Masjid itu.


Lantai masjid dipenuhi dengan segala macam jenis najis dari Burung, Kelawar, Tikus dan Kambing. Terdapat juga tulang dan bangkai anjing ketika saya membuat lawatan tapak pada 18 Sept 2011.

Tidak keterlaluan dinyatakan, Bangunan Masjid Tua ini telah banyak berjasa melahirkan celik ilmu agama, dan ia juga adalah sebagai lambang Ugama Islam telah lama bertapak di Kampong Jerangsang. Namun begitu pekara ini telah dianggap sebagai tidak penting oleh kariah yang terkemudian untuk satu jangka masa yang lama, dan anggapan ini akan berterusan sehingga bangunan ini rebah menyembah bumi.

Andaikata senibina Masjid ini hendak diselamatkan, kerja-kerja semburan " Pest Control" wajib dilakukan terlebih dahulu untuk membunuh segala macam parasit kuman sebelum kerja-kerja baik pulih dimulakan. Terdapat kesan bubuk dan anai-anai telah mula memakan kayu-kayu dalam Masjid.

Malanglah nasib dan harapan  para kariah terdahulu, ganjarannya telah terhenti disebabkan  Bangunan Masjid Tua yang diwakafkan tidak lagi membawa faedah kepada kariah terkemudian kerana  dibiarkan begitu sahaja. Sedangkan bangunan Masjid Tua ini masih kekal berada di atas tapak sejak dibina  100 tahun dahulu.

Tiang kayu utama masih teguh kukuh mengampu bumbung yang berat. Namun begitu hampir keseluruhan dinding papan masjid telah mula diserang oleh anai-anai dan bubuk.


Ya, mungkin keterlaluan membuat tuduhan seperti ini atas sebab tidak menimbangkan faktor ekonomi, kesesuaian tempat atau pun telah ada bangunan Masjid yang besar dan baharu. Jikalau itu alasannya maka rugilah kariah yang terkemudian itu dari sudut warisan sejarah dan jatidiri mereka.


Corak dan Lambang Negeri Pahang Darul Makmur masih jelas kelihatan termasuk tulisan khat ayat-ayat suci Al Quran, yang bermaksud " Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan Allah.


Tidakkah kariah terkemudian  boleh bersatu hati, bahu membahu dan berusaha sama gotong royong membaik pulih bangunan usang ini. Sepertimana yang telah ditunjukkan oleh orang terdahulu semasa membangunkan Masjid Tua ini dahulu. Tidak terbenihkah didalam hati-hati kariah orang terkemudian untuk berfikir bagaimana bangunan ini dapat dibaikpulih , dipelihara seterusnya dimanafaatkan.



Jikalau setiap kariah serta bekas kariah Kampong Jerangsang dan dibantu oleh anak-anak Pahang yang ada kesanggupan berkorban mengeluarkan RM 5.00 seorang. Dikumpul dan diurus tadbir sumbangan itu dengan jujur amanah, saya yakin bangunan ini dapat diselamatkan.


Anggaran jemaah yang boleh dimuatkan pada satu-satu masa adalah 4 ke 5 saf, pada setiap saf boleh memuatkan 15 orang jemaah dewasa. Pada satu-satu masa  anggaran jemaah adalah antara 40 ke 50 orang.
Tetapi jikalau usaha itu tidak mendatangkan kejayaan juga, maka saya sangat berharap supaya syarikat korparat tanahair yang terbilang seperti Genting Berhad, Magnum Corporation dan Guinness Anchor Berhad membuka mata untuk datang  memberi sumbangan ikhlas tajaan sepenuhnya untuk membaik pulih Bangunan Masjid Lama ini.

Mimbar kayu yang telah hampir roboh ketika lawatan dilakukan pada 18 Sept 2015.  Tuan Guru Haji Daud pernah berdiri diatas Mimbar ini  ketika membaca khutubah Solat Jumaat dan Hari Raya pada masa dahulu.

Tetapi kini tempat yang sama telah menjadi tempat Kambing berdiri berehat dan membuang najisnya.

Keadaan Kubah Kayu Unik yang masih kekal ditempat asalnya walaupun kayunya kelihatan usang dimamah oleh masa dan cuaca.

Kayu dari jenis yang sangat baik digunakan untuk membuat kubah Masjid. Anai-anai dan bubuk tidak berupaya merosakkan kubah Unik Masjid Lama Kampong Jerangsang, tetapi terpaksa juga mengalah kepada keadaan cuaca panas dan hujan.


Keadaan Kubah Masjid pada bahagian bumbung bangunan utama,yang  tidak terdaya kekal ditempatnya  telah rebah menyembah bumi

Dulu manusia sekarang kambing.


Artifak bersejarah senibina Kubah masjid.



Bangunan Masjid Lama yang unik di Kuala Kangsar Perak, ini adalah contoh terbaik bagaimana kariah berjaya menjaga warisan sejarah mereka. Kesungguhan kariah menjaga dan mengekalkan  warisan peninggalan nenek moyang mereka.

Bangunan yang tersergam megah dengan senibinanya dapat dilihat diatas bukit di pekan Raub. Ini adalah lambang kebanggaan kesatuan hati masyarakat Tiong Hua yang perlu dicontohi oleh kariah orang terkemudian semua orang Kampong Jerangsang.
Sebagai balasan terhadap sumbangan yang telah diterima itu nanti, kariah terkemudian janganlah lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada salah satu syarikat korperat tersebut. Buatlah papan kenyataan menyatakan bahawa syarikat itu telah membuat sumbangan untuk menyelamatkan warisan sejarah. Pacakan lah papan tanda itu di hadapan jalan atau dihalaman bangunan Masjid Lama Kampong Jerangsang.

Ini adalah satu-satunya  petanda bahawa masyarakat yang beragama Hindu telah menetap lama di Pulau Langkawi, Kedah.

Setelah ia dibaik pulih nanti , pada hemat saya pihak kariah boleh memilih samada untuk dijadikan sebagai Rumah Inap Rehat kepada musafir , Pusat Sumber Perpustakaan Kampong, Galeri Sejarah Kampong Jerangsang, atau Pejabat Nazir Masjid Dan Tanah Pekuburan. Setidak-tidaknya contohi lah usaha-usaha kejayaan yang telah ditunjukkan oleh sahabat-sahabat kita.

Catitan ini adalah sebagai Mengenang Jasa Tokoh Agama Tuan Guru Haji Daud yang pada suatu ketika dulu pernah menjadi kariah dan mengajar Ilmu Agama Di Masjid Lama di Kampong Jerangsang.Wasalam.

5 comments:

  1. mungkin boleh dibangunkan semula menjadi sekolah tahfiz dan belajar agama. Wallahualam

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, saya amat setuju dengan cadangan ini untuk membaikpulih bangunan masjid lama kampung Jeransang. Ianya amat cantik dan indah rekabentuknya.
    Ayah saya Sulaiman Adam pernah meluangkan azan disana. Saya Hasnah Sulaiman dan adik2 saya pun pernah belajar mengaji dimasjid lama itu.
    Saya juga bersetuju untuk buat kutipan untuk baikpulih masjid lama kampung Jeransang
    Terimakasih atas usaha anda

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Puan Hasnah. Kutipan untuk baik pulih memakan masa yang lama. Keutamaan yang perlu dilakukan segera ialah Ahli kariah harus bersegera mengerahkan tenaga belia untuk menebang cantas tumbuhan yang mula menjalar diatas bumbung. Membersihkan segala macam najis didalam masjid itu. Dan menyembur racun anai-anai sebelum kayu kayan pembinaan masjid rosak lebih teruk. Selepas itu lakukan lah baik pulih secara berperingkat bersesuaian dengan dana itu nanti. Apa yang penting ciri asal senibina harus dikekalkan. Saya tiada halangan untuk memberi pandangan dan cara bagaimana ia dapat dibaikpulih. Terima kasih Puan Hasnah Sulaiman. Wasalam.

      Delete
  3. Assalam tn, pd pendapat sy pihak yg BERKUASA iaitu kerajaan negeri pahang, Majlis agama iSLAm pahang dan pihak muzium pahang yg mmpunyai DANA YG BESAR sepatutnya membaiki masjid ini. Kan?

    ReplyDelete
  4. kita buat paper kwe MAIP untuk membaik pulihkan dan memakmurkan semula masjid ni..penuh dgn unsur2 sejarah..

    ReplyDelete